Latar belakang Pemberontakan_An_Lushan

Pada tahun 618, Li Yuan telah mengasaskan Dinasti Tang di China. Selama beberapa kurun, China mencapai zaman kegemilangannya dalam politik dan kebudayaan. Malah pada zaman ini, China dianggap sebagai kerajaan terkuat dan terkaya di dunia. Kerajaan Khan Turk Timur telah ditakluk oleh Tang pada tahun 630 diikuti dengan penaklukan ke atas Kerajaan Khan Turk Barat pada tahun 642. Melalui kejayaan ini, Kerajaan Tang berjaya menguasai Asia Tengah dan Laluan Sutera yang terdapat di Tarim Basin. Tang juga meluaskan pengaruhnya hingga ke Korea dan Vietnam sekali gus membuktikan kebangkitan dinasti baru China berbanding dinasti-dinasti terdahulu.

Semasa Maharaja Xuanzong menaiki takhta pada tahun 712, zaman kegemilangan Tang mencapai kemuncaknya. Zaman pemerintahannya menyaksikan kerja-kerja kreativiti dihasilkan dengan cemerlang. Namun ia semua berubah pada tahu 736 apabila Li Linfu dilantik menjadi ketua menteri. Pada masa itu, Maharaja Xuanzong telah dipengaruhi oleh hal-hal keagamaan serta gundiknya membuatkan beliau kurang berminat untuk memerintah. Pada tahun 742, Li Linfu melakukan beberapa siri pembersihan dengan membawa pihak 'duri dalam daging' kerajaan ke muka pengadilan.

Pada tahun 747, Li Linfu telah menjadi diktator secara de facto. Salah satu dasarnya ialah menggunakan jeneral tentera bukan berbangsa Cina sebagai gabenor ketenteraan. Dengan cara ini, beliau berharap tenteranya dapat menanam kepercayaan kepada pemimpin yang tiada hubung kait dengan politik. Beliau juga berharap ia dapat mengelakkan musuh politiknya daripada dapat merampas kuasa. Namun, perkara ini juga bermakna komander tentera tidak akan mencurahkan bakti kepada kerajaan pusat. Salah satu daripadanya ialah An Lushan, seorang jeneral yang berasal daripada keturunan Sogdia dan Göktürk. Sebagai seorang komander barisan hadapan tentera, beliau mempunyai 164 ribu ketumbukan tentera dan memiliki pejabatnya sendiri yang terletak berhampiran Beijing. An Lushan bertanggungjawab untuk mengawal suku nomad Khitan dan puak-puak nomad yang lain di kawasan Manchuria.

Maharaja Xuanzong dan Li Linfu telah menganugerahkan An Lushan dengan gelaran 'putera' dan diberikan kuasa untuk membuat wang logam. Sementara itu, gundik kepada Maharaja Tang telah mempengaruhi Maharaja Xuanzong untuk melantik kerabat keluarganya bagi mengambil alih jawatan yang penting dalam kerajaan. Pada lewat 740–an, salah satu kerabat keluarganya itu iaitu Yang Guozhong mula membuat pakatan dengan musuh politik Li Linfu untuk mencabar kedudukannya. Beliau juga telah melakukan komplot untuk menjatuhkan orang kepercayaan Li Linfu iaitu An Lushan. Situasi menjadi lebih parah apabila Li Linfu meninggal dunia pada tahun 752. Yang Guozhong mengambil alih Istana Kerajaan dan cuba untuk menyingkirkan An Lushan. An Lushan merasakan kedudukannya mula terancam dengan keadaan yang berubah-ubah di istana di Chang'an. Selain itu, beliau mungkin menanam keinginan untuk merampas kuasa daripada Dinasti Tang serta kegelisahan melandanya kerana beliau tidak dapat sokongan maharaja.